google language translate

flashVortex


Search This Blog


Monday, March 29, 2010

Ibu Hebat



Seorang ibu yang luar biasa adalah seorang ibu yang melawan. Ibu itu melawan ketidakadilan, melawan arus menentang masyarakat, melawan kejahatan, melawan penganiayaan, melawan penindasan, melawan dengan nilai keibuan dan juga sepenuh kudratnya.



Empat ibu yang diberi penghargaan besar kerana menjadi ibu yang melawan terpapar dalam hadis ini:

‘Sesungguhnya wanita ahli syurga yang paling utama adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad saw, Maryam Binti Imran, dan Asiah binti Mazahim.’

Hadis ini dapat ditemui dalam Mustadrak al-Shahihain Jilid 2, halaman 497. Al-Hakim menegaskan hadis ini adalah sahih. Hadis turut diriwayatkan dalam Tafsir al-Durr al Mantsur, Jilid 8, halaman 229.

Kita tahu Maryam jerih melawan masyarakatnya yang korup moral; dia mempertahankan kesucian dan keimanannya seraya bersedia berkorban membawa visi tauhid yang luar biasa.

Perlawanan Maryam berakhir saat ia wafat.

Kita tahu Khadijah cekal melawan tanggapan dalam masyarakat di kemuncak kejahilan; dia mempertahankan suaminya Rasulullah saw dengan harta dan kebangsawanannya sambil meyakini pesan dan wahyu dari langit.

Perlawanan Khadijah usai saat ia wafat.

Kita tahu Asiah terpaksa melawan di tengah penindasan yang sengit; dia terpaksa melakukan taqiyyah dengan menyembunyikan keimanannya daripada suami sendiri demi memastikan seorang utusan Allah membesar padu di bawah peliharaannya.

Perlawanan Asiah berpenghujung saat ia syahid dibunuh Firaun.

Tidak ramai orang yang tahu tentang Fatimah, model ibu yang juga melawan. Fatimah melawan siapa? Apakah perlawanan luar biasa dan tekanan yang harus dihadapinya. Apa perlawanan Fatimah yang mendapat tempat di syurga. Apa kekuatannya setanding Khadijah ibunya, Maryam dan Asiah?

Tentu, Fatimah tidak terpilih sebagai ibu yang hebat semata-mata kerana dia anakanda kesayangan Rasullah saw. Tentu, Fatimah turut terpilih kerana kualiti yang sama dengan Maryam, Asiah dan Khadijah: iaitu melawan.

Tidak ramai yang tahu Fatimah melawan apa atau siapa? Begitu sekali sejarawan menutup cerita, begitu pendek dan begitu sedikit perenggan mengenainya. Begitu bersungguh ulama dan pendakwah menutup dan menyorokkan perlawanan Fatimah. Begitu ramai orang akan memesongkan. Sehingga anda (kita) semua tidak mengenal Fatimah dan apa kualitinya sebagai seorang wanita dan ibu. Ustaz-ustaz hanya sanggup dan berani mengatakan Fatimah anak kesayangan Rasulullah saw. Setakat itu sahaja.

Inilah perlawanan Fatimah az Zahra:

Urwah bin Zubair melaporkan ‘Fatimah marah lalu dia meninggalkan Abu Bakar, tidak henti-hentinya dia menjauhi Abu Bakar sehingga dia meninggal dunia.

(Musnad Imam Ahmad, hadis nombor 25, bab musnad Abu Bakar as-Siddiq r.a. Hadis yang dikutip merupakan hadis yang panjang berstatus sahih. Hadis yang sama dengan matan berbeza turut dimuatkan iaitu hadis nombor 9 dan 14. Musnad Imam Ahmad tidak syak lagi adalah rujukan valid umat Islam.)

Dan tidak seperti ibu yang lain, tahukah anda perlawanan Fatimah itu tidak habis sampai sekarang!

Biarpun Fatimah sudah wafat perlawanannya tidak tamat. Tidak seperti perlawanan Asiah, Maryam dan Khadijah. Perlawanan Fatimah kekal berlangsung sampai hari ini.

Sampai sekarang masih ada orang tidak mahu mempercayainya, tidak berpihak kepadanya. Mungkinkah anda orang tersebut?

Fatimah menanggung beratnya walaupun sudah tiada. Anak-anaknya dibunuh oleh umat ayahandanya. Cucu-cicitnya dideritai oleh musuh keluarganya secara tidak terfikirkan. Anda mahu bersama Fatimah dan ayahnya bila dibangkitkan kelak; atau mahu bersama penganiaya ibu mulia ini?

Haknya diambil dan Fatimah melawan sampai ke akhir hayat. Dia seorang ibu yang menunjukkan sikapnya. Benar, ibu kita hebat. Ibu saya hebat. Ibu anda hebat. Kalau ibu kalian melawan, ia lebih hebat.
Tetapi ibu terhebat tetaplah empat orang di atas, dan yang benar-benar hebat tentulah Fatimah az Zahra.

Sekarang tahukah anda mengapa Fatimah diangkat darjatnya sedemikian?




nada murni - ibu mithali


Solawat dan Takbir!

No comments:

Post a Comment